Thursday, September 17, 2009

SELAMAT HARI RAYA



Pilih...pilih...pilih!

Selamat menyambut Aidilfitri 1430 Hijrah, semoga beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan!

Buat warga SMK Sultan Tajul Ariffin Manong Perak:
Pengetua - selamat bertugas di tempat baharu!
PK Pentadbiran - lepas raya kita siapkan kertas kerja!
PK HEM - jangan lupa simpan kek cokelat buat teman!
Semua GK - sedia kuih postmortem!
Cikgu Salwana dan Cikgu Azlina - selamat pengantin baharu!
Puan Mahizan - selamat terima menantu!
Kawan-kawan yang bertunang - kurangkan makan kuih manis sebab darah tengan manis!
Kawah-kawan yang gian badminton - asah reket bagi tajam smash!
Kawan-kawan yang selalu pokai - ingat, lepas raya lambat lagi gaji!

Wednesday, September 9, 2009

ZAKAT FITRAH

Dalam keghairahan hendak menyambut Aidilfitri, jangan lupa tunaikan zakat fitrah! Zakat fitrah difardukan kepada setiap individu muslim yang berkemampuan. Syarat mengeluarkan zakat fitrah:
  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi 1 Syawal.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Individu yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan dan berkekalan Islamnya.
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari pada akhir Ramadan.

Zakat fitrah juga dikenali sebagai zakat badan, zakat puasa, zakat Ramadan dan zakat Fitri kerana masa untuk menyempurnakannya adalah pada akhir Ramadan dan menjelang hari Raya Aidilfitri. Zakat fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan orang asnaf ketika menyambut 1 Syawal.

Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.3 kg beras atau yang sama nilai dengannya. Di Perak, kadar zakat fitrah pada tahun 1430 Hijrah ini telah ditetapkan sebanyak RM 7.00 seorang.

Waktu membayar zakat fitrah:
  1. Waktu wajib, iaitu apabila terbenam matahari pada akhir Ramadan sehingga terbit matahari 1 Syawal.
  2. Waktu afdal, iaitu sebelum solat sunat Aidilfitri.
  3. Waktu sunat, iaitu sepanjang bulan Ramadan.
  4. Waktu makruh, iaitu selepas solat sunat Aidilfitri sehingga terbenam matahari 1 Syawal.
  5. Waktu haram, iaitu selepas terbenam matahari 1 Syawal.

Niat zakat fitrah ialah, "Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib atas saya / tanggungan saya tahun ini kerana Allah Ta'ala".

Selamat membayar zakat fitrah!

Friday, September 4, 2009

NUZUL QURAN

Selamat menyambut dan menghayati Nuzul Quran pada 17 Ramadhan 1430 Hijrah bersamaan 7 September 2009 Masihi.
Nuzul Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan ketika Nabi Muhammad SAW berusia 41 tahun dengan turunnya wahyu pertama Surah Al-Alaq. 'Nuzul' bermaksud turun atau berpindah dari atas ke bawah, iaitu proses menyampaikan wahyu Allah kepada Rasul Allah. 'Quran' pula bermaksud bacaan atau himpunan, iaitu himpunan ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, muamalat, jinayat, sains dan teknologi. Quran dikenali sebagai mukjizat akhir zaman kerana segala panduan untuk manusia terkandung dalam Quran.

Wednesday, September 2, 2009

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2009



Peperiksaan Percubaan SPM 2009 telah dimulakan pada 1 September 2009 (Selasa). Walaupun pelajar menjalani ibadah puasa, namun mereka tetap bersemangat untuk menjawab soalan kerana pencapaian peperiksaan ini akan mengukur sejauh manakah persediaan mereka untuk menghadapi peperiksaan SPM sebenar yang akan dijalankan pada bulan November nanti. Semoga semua calon SPM SMK Sultan Tajul Ariffin Manong Perak dapat menjawab soalan dengan lancar dan mendapat keputusan yang cemerlang kelak.

Wednesday, August 26, 2009

DIARI PKK M1

17082009
Menghadiri Taklimat Penggunaan Perisian Pelaporan Peruntukan Kewangan Kokurikulum 2009 di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar jam 8.30 pagi.
18082009
Menerima surat lantikan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Sultan Tajul Ariffin Manong Perak berkuat kuasa mulai 17 Ogos 2009.
19082009
Menghadiri Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah SMK Sultan Tajul Ariffin Manong Perak Bil 2/2009 di Bilik Seri Mutiara SMK Sultan Tajul Ariffin Manong Perak jam 2.30 petang.
20082009
  1. Menghadiri Mesyuarat Guru Kanan Kemanusiaan Daerah Kuala Kangsar di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar jam 2.30 petang (melepaskan jawatan Presiden Guru Kanan Kemanusiaan Daerah Kuala Kangsar dan memperkenalkan Guru Kanan Kemanusiaan SMK Sultan Tajul Ariffin yang baru, iaitu Puan Nurul Uyun binti Mohd. Nasari).
  2. Menghadiri Jamuan Akhir Tahun 2009 Koperasi SMK Sultan Tajul Ariffin Manong Berhad di Restoran Arowana Ketior Kuala Kangsar Perak jam 4.00 petang.
21082009
Memasang Jalur Gemilang di SMK Sultan Tajul Ariffin Manong Perak bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2009.

Sunday, August 16, 2009

PEPERIKSAAN PRAPERCUBAAN SPM 2009



17 Ogos 2009 - Hari ini semua pelajar menjawab soalan 1249/2 Sejarah Kertas 2 di Dewan Blok G SMK Sultan Tajul Ariffin Manong Perak. Soalan ini sepatutnya dijawab pada 4 Ogos 2009 (Selasa) yang lalu tetapi ditunda pada hari ini kerana pelajar terpaksa balik pukul 3.30 petang jika dijalankan mengikut jadual asal. Walau bagaimanapun, penangguhan ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk mengulang kaji dengan lebih rapi.

Thursday, June 25, 2009

SALAM PENGENALAN


Selamat menyelusuri sesawang maklumat yang perlu dikongsi untuk semua!