Wednesday, August 24, 2011

JALUR GEMILANG TERPANJANG SMKSTA 2011

19 Ogos 2011 - Jalur Gemilang SMKSTA 2011 yang telah saya usahakan, dibantu oleh Cikgu Hafizah dan guru-guru lain dengan kerjasama pelajar-pelajar Tingkatan 5SRT, 5KP, 5SS, 5VT dan 4SRT telah sempurna digantung di pagar SMKSTA. Dengan kemunculan bendera tersebut baharulah warga SMKSTA bersemangat untuk menyambut Bulan Kemerdekaan walaupun dalam Bulan Ramadhan. Bendera tersebut dianggap bendera terpanjang di Manong walaupun panjangnya sekadar 60 meter. Kami telah berjaya menyiapkan bendera tersebut selama 3 hari bermula 16 Ogos 2011 dengan kos bahannya kira-kira RM 400.00. Tahniah dan terima kasih buat semua pihak yang telah menjayakan projek Jalur Gemilang SMKSTA 2011.

“1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”

Thursday, August 18, 2011

JALUR GEMILANG SMKSTA 2011

16 Ogos 2011 - Pelajar-pelajar SMKSTA telah bergotong-royong menyemarakkan Bulan Kemerdekaan dengan pelbagai bentuk bendera menghias kelas masing-masing. Sekumpulan pelajar pula telah mula membina Jalur Gemilang panjang untuk menghiasi pagar hadapan sekolah. Sama-samalah kita tunggu kemunculan bendera terpanjang di SMKSTA.



Monday, August 15, 2011

ZAKAT FITRAH

Zakat fitrah dikenali juga sebagai zakat badan, zakat puasa, zakat Ramadan, dan zakat Fitri kerana masa untuk menyempurnakannya adalah pada akhir Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Zakat fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan orang asnaf ketika 1 Syawal(siang & malam).

Syarat Zakat Fitrah

  1. Islam
  2. Mempunyai sesuatu (makanan, harta, atau wang) yang lebih daripada keperluan diri sendiri dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya untuk satu hari siang dan malam Hari Raya itu.
  3. Dapat menemui dua masa – akhir Ramadan dan awal Syawal. Orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari atau anak yang dilahirkan selepas matahari terbenam malam satu Syawal itu tidak wajib fitrah ke atasnya.

Kadar Fitrah

Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.3kg beras atau senilai dengannya (ijtihad).

Bagi tahun berakhir 2011 Masihi/1432 Hijrah di seluruh negeri Perak, Malaysia, kadar Zakat Fitrah semasa telah ditentukan sebanyak RM7.00 bersamaan 2.70kg beras mentah.

Kewajipan zakat fitrah

  1. Ketua keluarga wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya dan juga tanggungannya.
  2. Jika salah satu dari tanggungannya meninggal dalam bulan puasa, maka orang itu terlepas daripada membayar zakat fitrah.

Waktu mengeluarkan zakat fitrah

1. Waktu wajib: Apabila terbenam matahari akhir 30 ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

2. Waktu yang paling afdhal: Sebelum Solat Sunat Hari Raya.

3. Waktu sunat: Sepanjang bulan Ramadhan.

4. Waktu makruh: Selepas solat sunat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

5. Waktu haram: Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Niat Zakat Fitrah

Wang sebanyak $ _____ ini sebagai menunaikan zakat fitrah, yang wajib ke atas diri/keluarga saya untuk tahun berakhir _____ tunai kerana Allah Ta'ala.

NUZUL QURAN

Selamat menyambut dan menghayati Nuzul Quran pada 17 Ramadhan 1432 Hijrah bersamaan 17 Ogos 2011 Masihi.

Nuzul Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan ketika Nabi Muhammad SAW berusia 41 tahun dengan turunnya wahyu pertama Surah Al-Alaq. 'Nuzul' bermaksud turun atau berpindah dari atas ke bawah, iaitu proses menyampaikan wahyu Allah kepada Rasul Allah. 'Quran' pula bermaksud bacaan atau himpunan, iaitu himpunan ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, muamalat, jinayat, sains dan teknologi. Quran dikenali sebagai mukjizat akhir zaman kerana segala panduan untuk manusia terkandung dalam Quran.

Saturday, August 6, 2011

HIKMAH PUASA RAMADHAN

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (S.al-Baqarah:183)

PUASA menurut syariat ialah menahan diri daripada segala sesuatu yang membatalkan puasa (seperti makan, minum, hubungan kelamin, dan sebagainya) semenjak terbit fajar sampai terbenamnya matahari, dengan disertai niat ibadah kepada Allah, kerana mengharapkan redha-Nya dan menyiapkan diri untuk meningkatkan Taqwa kepada-Nya.

RAMADHAN bulan yang banyak mengandungi hikmah. Alangkah gembiranya hati mereka yang beriman dengan kedatangan bulan Ramadhan. Umat Islam bukan sahaja telah diarahkan menunaikan ibadah selama sebulan penuh dengan balasan pahala yang berlipat ganda, malah pada bulan Ramadhan Allah telah menurunkan kitab suci al-Quranulkarim yang menjadi petunjuk bagi seluruh manusia untuk membezakan yang benar dengan yang salah.

Puasa Ramadhan akan membersihkan rohani kita dengan menanamkan perasaan kesabaran, kasih sayang, pemurah, berkata benar, ikhlas, berdisiplin, terhindar dari sifat tamak dan rakus dan percaya kepada diri sendiri.

Meskipun makanan dan minuman itu halal, kita mengawal diri kita untuk tidak makan dan minum dari semenjak fajar hingga terbenamnya matahari kerana mematuhi perintah Allah.Walaupun isteri kita sendiri, kita tidak mencampurinya ketika berpuasa demi mematuhi perintah Allah s.w.t.

Puasa mempunyai pelbagai hikmah antaranya:

1. Menandakan kesyukuran kepada Allah.

2. Melatih diri dengan sifat-sifat mahmudah/terpuji seperti sabar, tabah, amanah dan sebagainya.

3. Melatih sikap tolong-menolong di antara satu sama lain.

4. Meningkatkan kesihatan diri.

5. Mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka (hari raya) dan ketika berjumpa dengan Tuhannya pada hari kiamat.

6. Menjauhkan dari sifat-sifat Mazmumah (keji) sepert tamak, sombong hasad dengki dan sebagainya.

Selamat menunaikan ibadah puasa dengan sempurna semoga segala hikmah dan kelebihan yang disediakan dapat sama-sama kita rebut demi kebahagiaan dunia dan akhirat.

Wednesday, July 27, 2011

KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG SMKSTA 2011

21 Julai 2011 - Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke-38 SMKSTA telah dilangsungkan di padang SMKSTA mulai jam 8.30 pagi. Perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh En. Azizul Rahim bin Abdul Rahman, Pengerusi Kelab Alumni SMKSTA. Kejohanan dimulakan dengan pertandingan kawad perbarisan antara 8 unit beruniform dan 4 rumah sukan. Kategori unit beruniform dimenangi oleh Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia manakala kategori rumah sukan dimenangi oleh Rumah Temenggong. Pelbagai acara balapan dan padang telah dijalankan. Dalam pertandingan hiasan rumah sukan dan johan keseluruhan kejohanan dimenangi oleh Rumah Temenggong. Tahniah kepada yang berjaya dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan kejohanan pada kali ini.