Tuesday, February 15, 2011

LATIHAN KAWAD BERUNIFORM SMKSTA

Bulan Sabit Merah Malaysia
Persekutuan Pengakap Malaysia
Pergerakan Puteri Islam Malaysia
Kadet Remaja Sekolah
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
Kadet Bomba dan Penyelamat
Kadet Polis Diraja Malaysia

Pelajar-pelajar SMKSTA telah mula menjalani latihan kawad untuk persiapan Pertandingan Kawad Unit Beruniform SMKSTA yang akan diadakan pada 4 Mei 2011. Kelihatan pelajar-pelajar bersungguh-sungguh berlatih dan guru-guru penasihat turut ghairah melatih pasukan masing-masing. Semoga semua pasukan unit beruniform dapat melahirkan anggota yang benar-benar mantap dalam berkawad.

BENCANA RIBUT

Musnah Akibat Ribut

Suak Petai, 15 Feb 2011: Lebih kurang jam 8.15 malam tadi, ketika ribut sebelum hujan lebat, rumah jiran saya, Samsuri Jamaludin, telah ditimpa sebatang pokok kelapa. Bilik utama rumah tersebut telah musnah tetapi Alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan berlaku. Ketika kejadian, Samsuri sedang berada di surau manakala isterinya yang berada di rumah tidak mengalami sebarang kecederaan.

YB Dato' Ramly Zahari (ADUN Manong) ziarah mangsa bencana.

TOKOH PERDANA MAULIDUR RASUL 1432 HIJRAH

Dr Abdul Hayei Abdul Sukor

TELADANI PELAJAR CEMERLANG

Nur Amalina binti Che Bakri, pelajar cemerlang SPM 2004 yang mendapat 17 A1 mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Sains Farmakologi (serentak) di University Of Edinburgh, Scotland.

Menurut Nur Amalina, beliau belajar dan mengulang kaji pelajaran melalui televisyen dan internet. Beliau meminati program-program realiti televisyen seperti siri Fear Factor, The Apprentice, National Geographic dan Discovery Channel kerana beliau sukakan sesuatu yang mencabar dan menjadi inspirasi kepada beliau. Beliau sentiasa melayari intenet untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini dalam pelbagai perkara serta mempunyai kenalan terdiri daripada pelajar luar negara untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat.

Beliau pernah menyertai 50 pertandingan seperti sayembara puisi dan lagu, pidato, syarahan, bercerita, kuiz, melukis, menggubah, bersajak dan pernah dimahkotakan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Kebangsaan 2004 serta Johan Pidato Permodalan Nasional Berhad. Beliau juga merupakan Naib Pengerusi Kelab Bimbingan dan Kaunseling, Setiausaha Persatuan St. John Ambulans, Setiausaha Pasukan Rumah Kuning, Naib Bendahari Kelab Pencegah Jenayah dan Ketua Pasukan Badminton sekolah semasa beliau di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Semangat dan cita-citanya yang tinggi untuk mencapai kejayaan tidak menghalang beliau bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.

Pengajarannya: Melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Siti Fatimah binti Mukhtar, pelajar cemerlang SPM 2006 yang mendapat 17 A1 dan 1 A2 menceritakan rahsia kejayaannya seperti berikut:

1. Solat hajat setiap malam 3 bulan sebelum peperiksaan.

2. Menghafal al-Quran (17 Juzuk).

3. Tumpuan penuh semasa guru mengajar.

4. Tusyen subjek susah (Fizik dan Matematik Tambahan).

5. Berusaha, baru berserah kepada Allah.


Rutin harian Siti Fatimah bermula seawal 4.30 @ 5.00 pagi. Satu waktu yang amat payah bagi kebanyakan kita untuk membuka mata, tetapi tidak bagi remaja cemerlang ini. Harinya dimulai dengan solat tahajud, solat taubat dan solat hajat. Hiburan baginya adalah dengan membaca @ mendengar ayat-ayat suci al-Qur'an. Dia amat menjaga batas-batas pergaulannya dengan lelaki bukan muhrim. Dia amat cintakan ilmu pengetahuan. Dia mempunyai bakat kepimpinan. Menonton televisyen hanya sekejap sebelum maghrib. "Setiap hari saya mengulang kaji pelajaran dan selebihnya saya menghafal al-Quran," kata Siti Fatimah.

Pengajarannya: Lebih banyak kita membuat amalan yang baik, semakin kurang kita berpeluang melakukan amalan yang tidak baik.

Di celah-celah kejayaan cemerlang pelajar wanita, Azali bin Azlan telah berjaya mencapai 20 1A dan 1 2A dalam SPM 2007. Resipi kejayaannya, beliau berpegang kepada pendirian sabar dalam menghadapi segala dugaan kerana yakin setiap kesusahan akan ada kesenangan. Azali Azlan percaya kesabaran dan ketekunan belajar menjadi kunci kepada kejayaannya memperoleh keputusan 20 1A dan satu 2A dalam peperiksaan itu. Menurutnya, sikap tersebut terbukti berjaya membina kekuatan dalaman dalam dirinya bagi menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Beliau tidak pernah mengikuti tusyen khusus, sebaliknya hanya menyertai tusyen di sekolah untuk mata pelajaran Kimia dan Prinsip Perakaunan. Beliau juga belajar sendiri sembilan subjek yang tidak diajar di sekolah. Azali memberitahu, dia tidak mempunyai jadual belajar yang lengkap seperti sesetengah pelajar lain kerana kalau ada jadual beliau akan berasa tertekan untuk mengikutinya. Sebaliknya beliau belajar apabila beliau rasa ada semangat untuk belajar. ‘‘Tetapi semangat itu kita sendiri yang kena merangsangnya selalu,” kata Azali.

Pengajarannya: Lelaki memang hebat, memang dasyat kalau buat kerja bersungguh-sungguh, bukan main-main!

Nur Madihah binti Nik Mohd. Kamal cuba menyaingi kejayaan Azali bin Azlan. Alhamdulillah, beliau mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan 1 A2 dalam SPM 2008. Hidupnya tanpa peralatan yang canggih dan kemudahan yang sempurna. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasibnya ke tahap yang lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa. Kejayaan Nik Nur Madihah ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana terlalu sempit dan uzur. Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar Nik Nur Madihah sekeluarga. Bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari. “Kadang-kadang saya menitiskan air mata sebab kakak (panggilan dalam keluarga kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal) terpaksa berpuasa sebab tidak ada wang untuk beli makanan. Tetapi Alhamdulillah, kakak memahami keadaan keluarga malah kakak menjadikan ibadah itu sebagai rutin pada setiap hari Khamis dan Isnin sejak berumur 12 tahun,” kata Mariani Omar, ibu Nik Nur Madihah.

Pengajarannya: Kemiskinan bukan penghalang kepada pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

Friday, February 11, 2011

HENTI SAMBUT HARI VALENTINE

Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaik-baiknya hendaklah berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seelok-eloknya ialah bunga ros berwarna merah.

Pasangan-pasangan ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulama mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari amalan menyambut Hari Valentine, namun ingatan itu seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram. Hari Valentine ialah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom kuno dan Kristian.

Sejarah Sambutan Hari Valentine

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengannya. Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan sentuhan pukulan itu akan menambahkan kesuburan mereka.

Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini. Versi pertama, pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta diseksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan pada akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan From your Valentine (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine. Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 Masehi.

Pendapat ketiga, hari Valentine dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Pendapat keempat, sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya jatuh pada 14 Februari. Pendapat ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris. Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum Sambut Hari Valentine

Sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah serta disepakati oleh generasi awal umat Islam, hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sebagaimana firman Allah SWT: Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. (al-Hajj: 67)

Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri”. (riwayat al-Nasaai, no: 959). Oleh itu hendaklah umat Islam membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh, iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah dalam kalendar umat Islam seperti Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain.

Namun demikian apa yang mendukacitakan ialah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah perayaan itu berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masihi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda baginda: ”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512).

Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar”. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”.

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar). (al-Baqarah: 120)

Umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa:

"Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.''

(Diedit daripada tulisan Mohd. Yaakub Mohd. Yunus dan http://www.utusan.com.my/)

MENAMATKAN LANGGANAN GAMEZBOTS

Sekiranya anda terlibat dengan masalah untuk menamatkan langganan GamezBots, anda hanya perlu membalas sms daripada 27300 dengan menaip STOP GB. Anda akan menerima sms untuk UNSUBSCRIBE melalui alamat http://m.gamezbots.com/stop.php. Taip alamat tersebut melalui GPRS maxis telefon bimbit anda dan klik pada UNSUBSCRIBE di bahagian akhir laman web tersebut. Jika anda berjaya, anda akan menerima sms berikut:
RM0. Your subscription has been terminated. Thank you for your patronage. http://m.gamezbots.com
Terima kasih kepada MOHDSABREE DOT COM
Selamat mencuba!