Thursday, September 8, 2011

BACAAN YASIN PERDANA SMKSTA 2011

8 September 2011 - Majlis Bacaan Yasin Perdana telah dilaksanakan di semua sekolah di seluruh negeri Perak menjelang peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan menjelang pada minggu hadapan (13 hingga 15 September) dan bulan hadapan (4 hingga 6 dan 10 hingga 11 Oktober). SMKSTA dan SK Manong telah bergabung tenaga menjayakan majlis tersebut di Masjid Nurul Huda, Manong bermula jam 8.00 pagi. Semua pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 bersama-sama guru dan ibu bapa telah menjayakan majlis tersebut. Majlis disempurnakan oleh En. Mior Abdul Rahman bin Mior Mohamed, Penolong PPD Kurikulum (Bahasa), Pelajabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar. Majlis turut dihadiri oleh Tn. Hj. Shamsuddin bin Md. Zainal Abidin (Pengetua SMKSTA) dan En. Ismail bin Ambiah (Guru Besar SK Manong). Solat hajat dan bacaan Yasin pula dipimpin oleh Ustaz Yusof bin Mahayuddin (Imam Masjid Nurul Huda). Semoga semua pelajar dipermudahkan untuk menjawab soalan peperiksaan dan mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang dalam UPSR dan PMR 2011.

Tuesday, September 6, 2011

PERARAKAN JALUR GEMILANG SMKSTA 2011

5 September 2011 - Semua pelajar dan guru SMKSTA telah bersama-sama mengarak Jalur Gemilang bersempena Bulan Kemerdekaan. Majlis perarakan tersebut telah bermula pada jam 7.40 pagi, berlepas dari padang sekolah melalui Klinik Manong, Masjid Nurulhuda Manong dan ke Dewan Besar SMKSTA. Perasmian majlis disempurnakan oleh Yang Berusaha, Tuan Haji Shamsuddin bin Md. Zainal Abidin, Pengetua SMKSTA.

Friday, August 26, 2011

AMBANG AIDILFITRI SMKSTA 2011

26 Ogos 2011 - Majlis Ambang Aidilfitri SMKSTA 2011 telah dilangsungkan dengan pelbagai aktiviti bersempena menyambut Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah. Setelah pelajar-pelajar mengemas bilik darjah masing-masing, semua pelajar dan guru berhimpun di dewan. Majlis dimulakan dengan laporan guru bertugas oleh Cikgu Nazri bin Bahador. Selepas itu, ceramah tentang panduan menyambut hari raya menurut ajaran Islam telah disampaikan oleh Ustaz Azhar bin Mohd. Din. Majlis diteruskan dengan bacaan Yasin diketuai oleh Tn. Hj. Ahmad Damahuri bin Yahaya. Selesai bacaan Yasin, majlis dilengkapkan dengan aktiviti khatam Tadarus Al-Quran kerana semua pelajar dan guru telah bertadarus sejak mula Ramadhan.
Selepas rehat, majlis penyerahan cenderamata, hadiah perkahwinan dan sumbangan hari raya telah dilangsungkan. Cikgu Mohammad Rafini bin Mat Razak, Cikgu Noor Amiza binti Mohamed Nazir dan Cikgu Cik Siti Zalina binti Jaafar dari UPSI yang menjalani praktikumtelah menerima cenderamata manakala Cikgu Nor Ain binti Mohtar yang akan melangsungkan perkahwinan pada 3 September 2011 telah menerima hadiah perkahwinan. Tidak dilupakan, guru bukan Islam, iaitu Cikgu Kaetharagowri a/p Venugopal dan Cikgu Praglata a/p M.S. Arumugam telah diberi cenderamata hari raya. Sumbangan hari raya pula disampaikan kepada 160 orang pelajar yang berjumlah RM 2,000.00.

Majlis dimeriahkan lagi dengan ucapan hari raya daripada Cikgu Abd. Rajak bin Hj. Zainalabidin (PK Kokurikulum), Pn. Noriani binti Ariffin (PK Hal Ehwal Murid, Pn. Rafidah binti Yeop Mohamed Rose (PK Pentadbiran) dan Tn. Hj. Shamsuddin bin Md. Zainal Abidin (Pengetua). Kemuncak majlis Ambang Aidilfitri ialah acara bersalam-salaman semua guru dan pelajar sebelum majlis bersurai. Semoga semua guru dan pelajar akan menyambut hari raya dengan meriah dan bahagia kerana tarikh hari raya pada kali ini disambut ketika cuti persekolahan pertengahan penggal kedua, iaitu dari 27 Ogos hingga 4 September.

Thursday, August 25, 2011

SUMBANGAN HARI RAYA 1432 HIJRAH

25 Ogos 2011 - Saya mewakili warga SMKSTA telah menyampaikan sumbangan hari raya kepada isteri Allahyarham Cikgu Mohd. Norazam bin Azuddin. Alhamdulillah, warga SMKSTA yang budiman telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM 900.00. Semoga bantuan tersebut dapat meringankan bebanan isteri dan anak-anak sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah. Allahyarham Cikgu Mohd. Norazam telah meninggal dunia pada 1 Mei 2010. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah...

Wednesday, August 24, 2011

PENGGAMBARAN MAJALAH SEMESTA 2011

23 Ogos 2011 - Penggambaran unit-unit kokurikulum bagi melengkapkan laporan masing-masing khas untuk dimuatkan dalam majalah SEMESTA 2011 telah dijalankan pada 23 dan 24 Ogos yang lalu. Sebanyak 8 unit pasukan beruniform, 20 unit persatuan akademik, 10 unit kelab permainan dan 4 unit rumah sukan telah sempurna menjalani sesi fotografi. Penggambaran kali ini begitu lancar kerana sesi fotografi dilaksanakan di dalam dewan. Semua pelajar dan guru berkumpul manakala masalah cuaca tidak lagi menjadi halangan. Tahniah dan terima kasih kepada semua warga SMKSTA yang telah bekerjasama menjayakan penggambaran ini. Semoga usaha kita untuk mendapat majalah SEMESTA sebelum cuti akhir tahun ini tercapai kelak.