Monday, June 27, 2011

LARIAN 1 MURID 1 SUKAN 1 MALAYSIA

Program Larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia akan diadakan pada 2 Julai 2011 (Sabtu) jam 7.45 pagi serentak di semua sekolah di seluruh negara. Program ini diadakan bersempena pelancaran Dasar 1 Murid 1 Sukan yang akan disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan akan mencipta rekod "Largest Participation of School Students in a Run" dalam The Malaysia Book of Records. SMKSTA akan menganjurkan acara larian ini bermula di tapak pasar sehari di pekan Manong dan berakhir di padang SMKSTA. Pendaftaran bermula seawal jam 7.00 pagi. Semua pelajar dan guru digalakkan menyertai larian ini manakala ibu bapa dan individu lain yang ingin menyertai larian ini amat dialu-alukan.

Saturday, June 25, 2011

PROGRAM RAKAN ALAM SEKITAR - EKSPEDISI GUNUNG BUBU SMKSTA 2011

24 Jun 2011 - SMKSTA telah terpilih mewakili Parlimen Kuala Kangsar untuk menyertai Program Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar 2011/2012. Program ini akan dilaksanakan di sekolah ini berkonsepkan penghijauan dan penghayatan alam sekitar. Program ini telah dirasmikan oleh En. Abdul Aziz bin Parmin, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak.

Terdapat tiga aktiviti utama yang akan dijalankan untuk menjayakan program ini. Aktiviti utama ialah Program Satu Pelajar Satu Pokok di mana setiap ahli Kelab Alam Sekitar akan menanam sekurang-kurangnya satu pokok di kawasan sekolah. Melalui aktiviti ini diharapkan kawasan sekolah akan lebih menghijau demi mengurangkan pemanasan global.

Aktiviti kedua ialah Program Sekolah Dalam Taman. Pihak sekolah akan menumpukan aktiviti ini dengan menyediakan lima buah taman di kawasan sekolah, iaitu Taman Sains, Taman Kemahiran Hidup, Taman Pendidikan Islam, Taman Perhimpunan dan Taman Mini Asrama. Program ini mendapat kerjasama dengan Jabatan Hutan Kuala Kangsar, Jabatan Pertanian Kawasan Manong, Pertubuhan Peladang Kawasan Manong dan PIBG SMKSTA.

Aktiviti ketiga pula ialah Program Rakan Alam Sekitar – Ekspedisi Gunung Bubu. Program ini yang berkonsepkan penghayatan Alam Sekitar Anugerah Tuhan dijalankan bermula pada 24 Jun 2011 hingga 26 Jun 2011. Peserta ekspedisi ini sebanyak 50 orang terdiri daripada pelajar SMKSTA, wakil Jabatan Alam Sekitar, wakil Pasukan Bomba dan Penyelamat, wakil PIBG dan guru-guru sekolah ini.
Peserta dilepaskan oleh En. Azizul Rahim (Pegawai Khas AP KKangsar)
Peserta mendengar taklimat...
Laluan ke puncak Gunung Bubu
Pengetua dan YDP PIBG turut memberi sokongan...




Tuesday, June 21, 2011

BIODATA TOKOH GURU KUALA KANGSAR 2011

Pada 1 Januari 1952, tarikh keramat bagi pasangan bertuah Encik Yop Hamzah bin Uda Rafa dan Zainab binti Alang Ludin di Kampung Lempor Hilir, Kuala Kangsar apabila dikurniakan seorang putera. Anak bongsu daripada dua adik-beradik ini telah dijaga seperti menatang minyak yang penuh dan diberi pendidikan yang sempurna. Dari seorang pelajar yang mendapat pendidikan pada zaman e tanda, akhirnya beliau diterima melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1975. Walaupun telah memperoleh ijazah Sarjana Muda, bagi menzahirkan impiannya menjadi seorang pendidik beliau meneruskan pengajian untuk memperoleh Diploma Pendidikan.

“Selamat pagi, cikgu,” ucapan keramat pertama beliau terima pada tanggal 9 Januari 1976 di Sekolah Menengah Bukit Merchu, Kuala Kangsar. Fizik, Kimia, Matematik Tambahan, Sains Teras dan Literasi Komputer merupakan mata pelajaran yang diajar sepanjang penglibatan beliau di peringkat sekolah. Dari seorang guru biasa, beliau telah menjawat beberapa jawatan yang diamanahkan sebagai Guru Kanan Sains, Guru Pusat Sumber Sekolah dan Guru Penolong Kanan. Semangat menuntut ilmu tidak pernah luntur di hati kecil insan ini. Sepanjang menjalankan perkhidmatannya, beliau juga melanjutkan pelajarannya bagi memantapkan lagi profesion keguruannya di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya. Berkat semangat, kegigihan dan pengalaman yang ditunjukkan, beliau telah dilantik sebagai Penolong Pengarah Bahagian Perpustakaan di Unit Teknologi Pendidikan, Jabatan Pelajaran Negeri Perak pada tahun 1990.

Kematangan pengalamannya dalam pelbagai jawatan sebagai guru dan kemantapan pengetahuan yang dimilikinya, beliau dilantik sebagai Pengetua di SMK Tajul Ariffin, Manong pada tahun 1998. Bagai sirih pulang ke gagang, setelah bertugas hampir tujuh tahun di Manong, beliau ditawarkan menjadi Pengetua di SMK Bukit Merchu, Kuala Kangsar pada tahun 2005. Atas khidmat cemerlang yang ditunjukkan, beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak pada tahun 2006. Kerjaya beliau terus menyinar dan dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Sektor Penyelidikan dan Penilaian di Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.

Insan cemerlang ini bertemu jodoh dan diijabkabulkan dengan Puan Kamariyah binti Basri. Hasil perkongsian hidup bersama-sama Puan Kamariyah binti Basri, pasangan ini telah dikurniakan tiga orang putera dan dua orang puteri. Kesungguhan insan ini diterjemahkan dalam penglibatan beliau sebagai perasmi dan penceramah dalam seminar-seminar dan kursus-kursus di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Antaranya, Seminar Teknologi Pendidikan bermula tahun 1988, Seminar Pelaksanaan Konsep Teknologi Pendidikan di Sekolah-sekolah, Kursus Intergrasi Teknologi Pendidikan, Kursus Pengurusan Pusat Sumber, Teknik Berpidato yang Berkesan dan Kursus Peningkatan Keilmuan Profesionalisme Keguruan.

Penglibatan beliau tidak sahaja terhad dalam bidang tugas rasmi sahaja, beliau seterusnya menyumbangkan khidmat bakti dalam kemasyarakatan dan badan sukarela sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Ahli Jawatankuasa Biro Pelajaran UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Presiden Persatuan Pusat Sumber Sekolah Negeri Perak, Timbalan Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Cawangan Kuala Kangsar dan Pegawai Khas kepada EXCO Yang Berhormat Dato’ Haji Ramly bin Zahari. Dengan kesungguhan beliau menabur jasa dan bakti kepada masyarakat, beliau telah dianugerahi pengiktirafan dan penghargaan apabila dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) dan Pingat Pangkuan Negara (PPN).

Maka dengan ini diumumkan penerima Anugerah Tokoh Guru bagi tahun 2011, Tuan Haji Muhammad Isa bin Yop Hamzah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Daerah Kuala Kangsar 2011.

Thursday, June 16, 2011

TOKOH GURU KUALA KANGSAR 2011

16 Jun 2011 - Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Kangsar Tahun 2011 telah dilangsungkan petang tadi di Dewan SMK Raja Perempuan Kelsom, Kuala Kangsar, Perak. Perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato' Siti Salmah binti Mat Jusak, Pengerusi Program Gemilang Yayasan Perak Daerah Kuala Kangsar merangkap ADUN Kawasan Chenderoh. Warga SMKSTA amat berbangga dan ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Tn. Hj. Mohd. Isa bin Yop Hamzah, mantan pengetua SMKSTA kerana telah dianugerahi Tokoh Guru Daerah Kuala Kangsar Tahun 2011. Jasamu tetap dikenang!
Tokoh Guru diarak masuk ke dewan bersama-sama isteri tersayang.

Tuesday, June 14, 2011

KEJOHANAN BADMINTON PSKPP KUALA KANGSAR 2011

  1. Nama Pertandingan

Kejohanan Badminton PSKPP Kuala Kangsar Tahun 2011.

  1. Tarikh Kejohanan

2.1 Tarikh : 17 dan 18 Jun 2011 (Jumaat dan Sabtu).

2.2 Masa : 8.00 malam hingga 12.00 malam.

2.3 Tempat : Dewan SJKC Tsung Wah, Kuala Kangsar, Perak.

  1. Jenis Pertandingan

3.1 Kejohanan Individu.

3.2 Acara kejohanan adalah seperti berikut:

3.2.1 Kategori perseorangan lelaki.

3.2.2 Kategori perseorangan wanita.

3.2.3 Kategori bergu lelaki terbuka.

3.2.4 Kategori bergu lelaki veteran (berumur 40 tahun ke atas pada 1 Januari 2011).

3.2.5 Kategori bergu wanita.

  1. Penyertaan

4.1 Penyertaan terbuka kepada semua ahli PSKPP yang sedang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan bertugas di bawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar, Perak.

4.2 Semua penyertaan atas nama individu, bukan atas nama institusi tempat bertugas. Peserta bebas memilih pasangan bergu dari institusi tempat bertugas yang sama atau intitusi tempat bertugas yang berlainan.

4.3 Semua penyertaan hendaklah dibuat melalui borang yang disediakan dan dihantar kepada urusetia kejohanan berserta bayaran penyertaan.

4.4 Bayaran penyertaan sebanyak RM 5.00 bagi acara perseorangan dan RM 10.00 bagi acara bergu.

4.5 Tarikh tutup penyertaan pada 16 Jun 2011.

  1. Sistem Pertandingan

5.1 Pertandingan ini dijalankan secara kalah singkir.

5.2 Kiraan mata:

5.2.1 Semua kategori - 21 mata (3 games) best of 2 games.

5.3 Tambahan mata:

5.3.1 Apabila kedua-dua pihak mencapai mata 20 sama, tambahan mata diberikan sehingga mata ke-30.

5.3.2 Dalam tambahan mata, perbezaan 2 mata dikira sebagai pemenang atau maksimum 30 mata.

5.4 Pertukaran gelanggang dalam game ke-3 akan dilakukan apabila mana-mana pihak mencapai mata ke-11.

  1. Hadiah Kemenangan

6.1 Semua peserta akan dianugerahkan Sijil Penyertaan.

6.2 Sijil Pencapaian, medal dan hadiah iringan akan dianugerahkan kepada Johan, Naib Johan dan Ketiga bagi semua kategori.

6.3 Johan bagi setiap kategori akan dipilih secara automatik sebagai pemain Pasukan Badminton PSKPP Daerah Kuala Kangsar untuk Kejohanan Badminton PSKPP Negeri Perak.

  1. Rujukan

Sebarang maklumat tentang kejohanan ini boleh dirujuk kepada:

7.1 En. Abdullah Sani bin Majin (012-5740056)

7.2 En. Abd. Rajak bin Hj. Zainalabidin (12-5076563)

7.3 En. Roslan bin Hassan (013-5205085)