Sunday, March 27, 2011

HOJITA PELAJAR ASLI TERBAIK SPM 2010 DI PERAK

IPOH: “Saya mengambil masa dua jam setiap hari dengan berjalan kaki, menaiki van dan bot untuk sampai ke sekolah. Namun ia menjadi pembakar semangat untuk lebih fokus dan berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Hojita Itam,18, pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan 8A dan 2B dalam SPM diumumkan, baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin, Manong, Kuala Kangsar, itu tidak menjadikan kekurangan serta kemiskinan dihadapinya sebagai halangan mencapai kejayaan cemerlang dalam SPM.

Hojita yang berasal dari Kampung Ulu Bekor berkata, setiap hari dia menaiki van dari rumahnya ke tebing Sungai Manong, sebelum menaiki bot menyusuri sungai berkenaan satu jam dan berjalan kaki 30 minit ke sekolah. Dia berkata, biarpun sekolahnya ada menyediakan asrama, dia tetap memilih berulang alik ke sekolah kerana mahu lebih dekat dengan ibu bapanya.

“Keluarga, guru dan rakan sekolah banyak memberi dorongan kepada saya untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran sekali gus berjaya memperoleh keputusan cemerlang ini.

“Selain memberi fokus seratus peratus di dalam kelas, saya juga belajar secara berkumpulan bersama rakan sekelas dan membuat ulang kaji bersistematik ketika berada di rumah,” katanya ketika ditemui pada majlis Seminar Memperkasakan Batin Orang Asli Perak, semalam.

Pada majlis itu, Hojita bersama bapanya, Itam Chu, 46, diraikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang turut berbangga dengan kejayaan pelajar itu.

Terdahulu, Zambry menghadiahkan Hojita sebuah komputer riba selain sumbangan wang tunai dan sijil penghargaan atas kejayaannya itu.

Hojita memperoleh keputusan A dalam subjek Matematik Tambahan, Matematik, Fizik, English for Science and Technology (EST), Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Moral dan Fizik manakala, B bagi subjek Biologi dan Kimia.

Sumber : myMetro | Harungi perjalanan 2 jam

Wednesday, March 23, 2011

SPM 2010 SMKSTA CEMERLANG

Gelagat calon-calon SPM 2010 ketika mendapatkan keputusan.

Tahniah diucapkan kepada semua calon SPM 2010 SMKSTA yang telah mendapat keputusan yang cemerlang. Pencapaian SPM 2010 merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2006. Peratus kelulusan ialah 97.3%, meningkat 3.1% berbanding pencapaian 94.2% pada tahun 2009. Pelajar terbaik ialah Hojita binti Itam yang mendapat 8A, iaitu 2A+, 2A, 4A-, 1B+ dan 1B. Beliau merupakan pelajar orang Asli yang tinggal di Kampung Ulu Bekor. Tahniah dan terima kasih buat semua pihak yang telah berusaha keras dalam menghasilkan pencapaian cemerlang ini.
Calon-calon SPM berdebar-debar menunggu keputusan.

PK Pentadbiran (Tn. Hj. Ahmad Zuhairi) mengumumkan keputusan.

Pelajar terbaik SPM 2010 (Hojita binti Itam).

Pengetua baharu (Tn. Hj. Shamsudin) menyampaikan sijil penghargaan.

Pelajar terbaik lelaki (Muhamad Aizat bin Abdul Razak).