Monday, May 30, 2011

FORUM PERDANA EHWAL ISLAM

30 Mei 2011 - Majlis Forum Perdana Ehwal Islam telah dilangsungkan di Masjid Nurul Huda, Manong, Perak mulai jam 8.00 malam hingga 10.15 malam. Penceramah jemputan terdiri daripada Ustaz Harith Fadzilah bin Halim (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak) dan Ustaz Roslan bin Che Ros (Pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang). Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Amali bin Amhuri (Imam Masjid Kolej Islam Darul Ridzuan). Tajuk forum ialah Liberalisme dan Pluralisme Menepati atau Menyanggahi Aqidah Ahlussunnah Wal Jama'ah.

Berdasarkan huraian dan kupasan penceramah, jelaslah bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme dalam agama menyanggahi aqidah Ahlussunnah Wal Jama'ah. Liberalisme merupakan fahaman berkonsepkan keadilan yang sama rata, iaitu ingin mendapatkan hak yang sama banyak sedangkan konsep keadilan yang sebenar ialah meletakkan sesuatu mengikut yang sewajarnya, iaitu sama-sama mendapat hak tetapi tidak semestinya sama banyak. Pluralisme pula merupakan fahaman bahawa semua agama sama sedangkan Allah telah menjelaskan ) bahawa agama yang benar dan diredai di sisi Allah ialah agama Islam (Al-Imran:19).

3:19

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Sekembali daripada majlis tersebut, saya tergerak untuk meneliti Resolusi Muzakarah Ulama' dan Cendekiawan Islam 2011 yang telah diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Hotel Heritage, Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Mei 2011. Berikut ialah kandungan resolusi tersebut untuk dikongsi dan direnungkan:

RESOLUSI MUZAKARAH ULAMA’ & CENDEKIAWAN ISLAM 2011

MUKADIMAH

Firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat 159 :

Bermaksud: “Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah Engkau terkait sedikit pun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah, kemudian ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).”

Dengan limpah rahmat petunjuk Yang Maha Esa, Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011 dengan tema: “Kepelbagaian Aliran Pemikiran dan Ajaran Islam di Malaysia: Menepati atau Menyanggahi Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Hotel Heritage, Ipoh pada tanggal 11-13 Jamadil Akhir 1432H, bersamaan 15 -17 Mei 2011M telah berjaya dilangsungkan dengan jaya dan penuh mahabbah.

MENJUNJUNG KASIH ATAS TITAH UTAMA DYMM PADUKA SERI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH IBNI AL-MARHUM SULTAN YUSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAH

Terdahulu, muzakarah menjunjung kasih dengan rasa penuh ta’zim atas keberangkatan dan titah perasmian yang telah disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah.

Muzakarah amat mengambil perhatian atas segala titah DYMM Tuanku Sultan agar kesatuan ummah diasaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah . Kegagalan ummah bersatu, akan menyebabkan kekuatan yang ada pada umat Islam akan semakin terhakis. Islam bukanlah alat permainan politik yang diambil bila diperlu, dibuang bila diragu. Tetapi Islam perlu menjadi tertinggi dari segala-segala. Maka ketika itulah impian untuk melihat kesatuan dan kekuatan ummah kembali semula akan menjadi kenyataan.

Muzakarah juga menjunjung kasih dengan rasa penuh ta’zim atas keberangkatan dan titah penutupan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan , Raja Dr. Nazrin Shah al-Haj Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

RESOLUSI MUZAKARAH

Alhamdulillah, muzakarah telah berpeluang memperdalami dan memperhalusi 3 kertas kerja yang menjadi asas perbincangan muzakarah tahun ini di sekitar perbahasan Liberalisma dan Pluralisma Agama, isu Syiah dan isu Wahabiah. Maka berasaskan kertas tersebut, muzakarah dengan penuh kesedaran dan keprihatinan menyatakan resolusi-resolusi berikut:

PENEGASAN MUZAKARAH :

Aliran pemikiran Islam Liberal dan Pluralisma Agama merupakan aliran yang terkeluar dari Islam, dan sebarang penyebarannya tidak dibenarkan berleluasa di kalangan ummah.

Syiah Imamiah Ithna Assyariah merupakan salah satu dari firqah ghuluw (melampau) yang terkeluar dari Islam.

Wahabiah merupakan satu aliran pemikiran dalam Islam dan bukan merupakan mazhab baru, namun ia merupakan satu gerakan ekstrim yang tidak sesuai pengamalannya dalam situasi realiti masyarakat di Malaysia.

Umat Islam wajib bersikap eksklusif dan haram mencampuradukkan akidah dan ibadah umat Islam dengan agama lain. Namun dalam masalah sosial, yang tidak berkaitan dengan akidah dan ibadah, umat Islam boleh bersikap inklusif, dalam erti melakukan pergaulan sosial secara wajar dengan agama-agama lain selagi tidak bertentangan dengan syarak.

Persoalan khilafiah bukanlah bid’ah, maka semua pihak perlulah berlapang dada dan saling hormat-menghormati terhadap kepelbagaian pendapat tersebut.

DAKWAH & PENDIDIKAN

Satu komuti yang khusus perlu ditubuhkan untuk menyelidik dan menjawab kembali secara serius segala hujah aliran-aliran pemikiran songsang dan sesat ini di Malaysia agar ia tidak tersebar di kalangan masyarakat.

Gerakan dakwah Islam perlulah menggunakan metod yang lebih segar dan semasa dalam memberikan pemahaman yang tepat dan haq agar mudah diterima oleh masyarakat Islam dan bukan Islam dipelbagai lapisan masyarakat.

TINDAKAN KESELAMATAN & PENCEGAHAN

Pihak kerajaan & NGO-NGO perlulah prihatin dan selektif terhadap pembiayaan oleh yayasan/badan antarabangsa atau tempatan yang kadang-kadang menyalurkan faham-faham dan aliran pemikiran songsang kepada melalui NGO-NGO ini.

Pihak kerajaan perlulah menilai gerakan yang bercanggah dengan Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah bukan saja gerakan merbahaya yang mampu mengancam akidah, ahklak dan syariah Islam, malah melampaui keselamatan negara.

Usaha penyemakan dan tahqiq kitab dan buku yang menjadi rujukan tradisi umat Islam di Malaysia perlulah disambut baik dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri, namun usaha untuk membetulkan masyarakat selepas itu perlulah disampaikan dalam berhikmah.

Proses pewartaan mengenai kedudukan dan bahaya Syiah perlulah dilakukan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri akan tindakan susulan dapat diambil.

Dalam menyediakan komiti yang bertanggungjawab menjawab dan menyelidik hujah aliran-aliran pemikiran songsang dan sesat ini di Malaysia, maka kerajaan disarankan untuk mengeluarkan sejumlah dana bagi melaksana komiti ini.

Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap golongan dan penyokong-penyokong mereka yang jelas bercanggah dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Usaha-usaha untuk menyebarluaskan bahan-bahan penerbitan bercetak dan siaran oleh Majlis Agama Islam Negeri perlu dilipatgandakan.

Satu usaha kerjasama antara pihak Majlis Agama Negeri & Kolej Islam Darul Ridzuan agar satu kajian komprehensif terhadap pembetulan fakta-fakta sejarah Islam terutama melibatkan teks-teks pengajian sekolah, kolej & universiti perlu dijalankan.


Monday, May 23, 2011

PERTUKARAN PK PENTADBIRAN SMKSTA

23 Mei 2011 - Yang Berusaha, Tn. Hj. Ahmad Zuhairi bin Hj. Zakaria, Penolong Kanan Pentadbiran SMKSTA telah bertukar ke SABK Maahad Al-Mizan, Jeliang, Manong, Perak mulai 16 Mei 2011. Beliau telah berkhidmat di SMKSTA selama 16 tahun sejak 1 Mac 1995. Bermula sebagai guru penolong (guru biasa), beliau telah menjawat jawatan Guru Kanan Kokurikulum pada 1 April 1995 dan terus diberi kepercayaan menjawat jawatan Guru Kanan Pentadbiran sejak 1 November 1997. Menurut beliau dalam ucapan perpisahannya, beliau mula berkhidmat dengan Pengetua ketujuh (Tn. Hj. Kamaruddin) dan telah berkhidmat dengan tujuh Pengetua. Sepanjang beliau bertugas di SMKSTA, antara kenangan manis yang beliau dapati ialah melawat sekolah-sekolah penanda aras cemerlang di Negeri Sembilan dan Kelantan untuk mewakili SMKSTA dalam Projek Rintis Kecemerlangan Sekolah Prestasi Rendah (SPR) pada tahun 2002. Kekecewaan beliau sepanjang bertugas di SMKSTA pula ialah sikap segelintir pelajar yang tidak berminat untuk belajar malah menimbulkan pelbagai salah laku di sekolah. Selain memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, beliau berpesan kepada guru-guru seperti ucapan seorang Guru Besar yang bersara, "beberapa minit dalam satu waktu kita lambat masuk ke kelas, berapa minit kita mencuri masa mengajar dalam setahun dan berapa banyak rezeki yang tidak halal menjadi darah daging kita?".
Guru-guru menghayati ucapan...
Tn. Hj. Ahmad Zuhairi sedang berucap...
Pelajar-pelajar tekun mendengar ucapan...
Pn. Noriani mewakili guru-guru berucap...

Selamat bertugas di sekolah yang baharu dengan visi dan misi yang baharu.

Sunday, May 22, 2011

PERKHEMAHAN GABUNGAN UNIT BERUNIFORM (PEGUB) SMKSTA 2011

22 Mei 2011 - Perkhemahan Gabungan Unit Beruniform (PEGUB) SMKSTA 2011 telah dijalankan pada 20 hingga 22 Mei 2011. Sebanyak 76 orang pelajar dari 8 unit beruniform telah menyertai PEGUB pada kali ini dengan diiringi 16 orang guru. Lokasi PEGUB pada tahun ini bertempat di Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Perak di Pulau Pangkor. Antara aktiviti yang telah ditempuhi oleh para peserta adalah seperti mendirikan khemah, menyusuri jambatan gantung, jejak spora pada waktu malam, 'water confident', berkayak, 'flying fox', ikhtiar hidup, 'snookerling' dan kembara. Semua peserta selamat menjalani semua aktiviti yang dijalankan dan dapat menimba banyak kemahiran dan pengalaman.

Gayat tapi seronok...
Keselamatan diutamakan dan sentiasa di pantau...
Berkayak dan water confident...
Pakai jaket keselamatan dengan betul...
Pastikan bilangan peserta sebelum jejak spora...
Jambatan gantung yang tinggi dan bergoyang...
Nengok senang, nak masang susah beno...
Seronok beno dapat naik feri...
Tak sabo nak pegi, kejo bas belaka...
Taklimat akhir sebelum berangkat...

Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya mengharungi cabaran PEGUB 2011. Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua guru pengiring, semua jurulatih dan semua pihak yang telah menjayakan PEGUB SMKSTA 2011.

Monday, May 16, 2011

HARI GURU SMKSTA 2011

16 Mei 2011 - Setelah menyanyikan lagu Negaraku, Perak Darul Ridzuan dan Perak Sentiasa Di Puncak Kecemerlangan, majlis sambutan Hari Guru yang diadakan di Dewan Besar dimulakan dengan bacaan doa oleh Sdra. Arif Mustaqim bin Mohamad. Perutusan Yang Berbahagia Datuk Abd. Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia telah disampaikan oleh Pn. Nurul 'Uyun binti Mohamed Nasari, Guru Kanan Kemanusiaan manakala perutusan Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia disampaikan oleh En. Ramli bin Sharif, Guru Kanan Sains. Majlis diteruskan dengan ucapan wakil pelajar oleh Sdra. Mohamad Mustakim bin Mohamad Zahidi, Ketua Pengawas Sekolah diikuti ucapan wakil ibu bapa oleh Tn. Hj. Mokhtar Lotfy bin Abd. Rahman, Yang Dipertua PIBG. Majlis dirasmikan oleh Yang Berusaha, Tn. Hj. Shamsuddin bin Md. Zainal Abidin, Pengetua SMKSTA. Selepas perasmian, semua guru menyanyikan lagu tema Hari Guru 2011, Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara dan lagu Guru Malaysia. Majlis perasmian ditamatkan dengan bacaan ikrar guru diketuai oleh pengetua dan memotong kek Hari Guru.
Persembahan Pelajar
Persembahan Guru
Ikrar Guru dan Lagu Guru Malaysia

Setelah berehat sambil menikmati jamuan dan bertukar-tukar hadiah, semua guru dan pelajar terlibat dalam pertandingan petanque, sepak raga ratus dan hiasan kreatif. Menjelang jam 12.00 tengah hari, semua pelajar meraikan semua guru dengan jamuan di kelas masing-masing.
Guru SMKSTA
Kek Hari Guru 2011

Majlis diserikan dengan persembahan dikir barat Hari Guru oleh pengawas sekolah lelaki dan persembahan Cikgu Hanif dan Cikgu Razif. Majlis ditamatkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan dan ucapan pengetua.

Saturday, May 14, 2011

Lagu Tema Hari Guru 2011

Lagu Kami Guru Malaysia (Official KPM)

SELAMAT HARI GURU

Buat semua guru yang telah mengajarku dan semua rakan guru.

HARI GURU

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

IKRAR GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

LAGU GURU MALAYSIA

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

GURU OH GURU

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
(Dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang (1979)

TEMA HARI GURU MALAYSIA

2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2009 Guru Pembina Negara Bangsa

2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

JASAMU TETAP DIKENANG DAN DIHARGAI!

Monday, May 9, 2011

HARI IBU


Selamat Hari Ibu kepada semua ibu. Bagi anda yang masih mempunyai ibu, gunakanlah kesempatan yang ada untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, iaitu membahagiakan ibu. Antara idaman ibu yang bahagia ialah ibu yang memiliki anak-anak yang tidak menyusahkan hati mereka, malah sentiasa menggembirakan hati mereka. Hari Ibu ialah hari pengiktirafan kaum ibu, yang disambut pada hari-hari berbeza di kebanyakan tempat merata dunia. Satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di Yunani purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac. Orang Rom purba juga menyambut sebuah perayaan bernama Matronalia yang memperingati dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari ini. Negara-negara yang menyambut Hari Ibu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei ialah Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Anguilla, Malaysia, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Peru, Puerto Rico, Slovakia, St. Lucia, Saint Vincent, Switzerland, Trinidad dan Tobago, Turki, Uruguay, Venezuela dan Zimbabwe.