Thursday, December 9, 2010

ZIARAH AJK PIBG/ALUMNI SMKSTA


Pada kira-kira jam 5.30 petang tadi, rombongan AJK Alumni SMKSTA yang diketuai oleh Pengerusinya, En. Azizul Rahim telah menziarahi Pn. Mastura, salah seorang AJK Alumni dan AJK PIBG SMKSTA di kediamannya di Rancangan Perumahan Awam Manong. Pn. Mastura baru-baru ini telah dirawat di Hospital Taiping akibat penyakit kencing manis dan ibu jari kaki kirinya terpaksa dipotong. Kita doakan semoga Pn. Mastura dan keluarganya dapat bersabar menempuh dugaan ini. Rombongan disertai oleh En. Bajuri, En. Murad Mat Isa, En. Murad Mat Som, En. Jamil, En. Abd. Wahid, En. Abd. Rajak dan Pn. Salmiah.

Friday, October 29, 2010

TERIMA KASIH GSTT

Cik Nor Zahariah (kanan)
Cik Nor Halwani (kiri)
Dari kanan: Cik Nor Bazura, Pn Muhaini dan Cik Haminatusima

Mulai 1 November 2010, 5 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan menamatkan tugasnya di SMKSTA. Mereka terdiri daripada:
1. Cik Haminatusima binti Isahak (mula bertugas 4 Januari 2010).
2. Pn Muhaini binti Mohamed Isa (mula bertugas 16 Januari 2010).
3. Cik Nor Bazura binti Othman (mula bertugas 16 Januari 2010).
4. Cik Nor Halwani binti Mat Shah (mula bertugas 14 Januari 2010).
5. Cik Nor Zahariah binti Mohd Kassim (mula bertugas 21 Jun 2010).

Semua warga SMKSTA ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih atas khidmat cemerlang mereka sepanjang bertugas di SMKSTA. Doa buat mereka, moga mendapat kesejahteraan dan kejayaan dalam bidang yang akan mereka ceburi.

Saturday, October 16, 2010

SEJARAH SMKSTA MANONG PERAK

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin (SMKSTA), Manong, Perak, satu-satunya sekolah menengah di Mukim Senggang, Kuala Kangsar, Perak, bermula dengan sistem pendidikan aneka jurusan pada Januari 1965. Pelajarnya ketika itu berjumlah 154 orang dengan gurunya sebanyak 7 orang termasuk pengetuanya yang pertama, iaitu Encik Zakaria bin Yassin. Kelasnya terdiri daripada 3 kelas Tingkatan 1 aliran bahasa Melayu dan 1 kelas peralihan aliran bahasa Inggeris yang ditempatkan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Manong. Pelajar sekolah ini terdiri daripada murid lepasan Darjah 6 dari SK dalam Mukim Senggang, iaitu SK Ulu Kenas, SK Kuala Kenas, SK Lempor, SK Jeliang, SK Ara Panjang, SK Ulu Piol, SK Manong dan SK Bekor.
Blok A dan Blok B

Pembinaan bangunan SMKSTA (blok A dan blok B) bermula pada tahun 1966 dan siap pada tahun 1967. Semua pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dipindahkan ke bangunan baharu dengan nama Sekolah Menengah Rendah Manong, Kuala Kangsar, Perak. Kumpulan pertama Tingkatan 3 mula menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Lower Certificate of Education (LCE) pada tahun 1967 dengan keputusan yang cemerlang apabila seorang pelajar telah berjaya memperoleh 6 agregat. Pelajar lelaki yang berjaya dalam SRP dan LCE menyambung pelajaran Tingkatan 4 ke SMK Clifford, Kuala Kangsar manakala pelajar perempuan ke SMK Raja Perempuan Kelsom (Government English Girl's School), Kuala Kangsar.
Blok C dan D

Tingkatan 4 aliran sastera di sekolah ini bermula pada tahun 1969 apabila bangunan blok C siap. Pada tahun 1970, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Sultan Tajul Ariffin (SEMESTA). Tingkatan 4 aliran sains pula ditubuhkan pada tahun 1975. Pembangunan sekolah ini diteruskan dengan pembinaan bangunan blok D (1978), blok E, blok F, blok G dan Dewan Besar (2010). Pengetua sekolah ini terdiri daripada Encik Abdul Shukor bin Abdullah (1971, ke-2), Encik Azidin bin Mahmud (1973, ke-3), Encik Shaharuddin bin Ahmad Kamal (1976, ke-4), Encik Ahmad Bashah bin Hj. Hashim (1983, ke-5), Pn. Hjh. Zawiyah binti Ahmed (1991, ke-6), Tn. Hj. Kamaruddin bin Abd. Ghani (1993, ke-7), Encik Zainal Abidin bin Manas (1997, ke-8), Tn. Hj. Mohd. Isa bin Yop Hamzah (1998, ke-10), Encik Azam bin Mahmod (ke-11), Pn. Hjh. Norliah binti Mohd. Lazim (ke-12) dan kini Tn. Hj. Mohd. Kamil bin Ab. Rahman (2009, ke-13).
Blok E dan Blok F
Blok G dan Dewan Besar

SMKSTA juga memiliki kemudahan asrama untuk menampung pelajar=pelajar miskin dan menghadapi masalah pengangkutan ke sekolah. Asrama ini boleh menampung 40 orang pelajar. Setakat ini pihak sekolah hanya membenarkan pelajar perempuan sahaja yang menghuni asrama tersebut memandangkan banyak kekurangan kemudahan di asrama tersebut dan asrama itu dikenali dengan Asrama Puteri (ASPUTRI).
ASPUTRI

Sunday, October 3, 2010

MENJELANG PMR 2010

Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan bermula pada 5 Oktober 2010 (Selasa). Pelbagai persiapan telah dilakukan oleh pihak sekolah menjelang peperiksaan tersebut. Persiapan terakhir ialah majlis solat hajat dan bacaan Yasin di Masjid Nurulhuda Manong pada 1 Oktober 2010 (Jumaat) dan majlis memohon restu calon-calon PMR daripada semua guru pada 4 Oktober 2010 (Isnin). Calon-calon juga diberi kata-kata perangsang oleh semua guru termasuklah Cikgu Mohd. Hanif bin Mohd. Yusof (Guru Sandaran Terlatih yang merupakan salah seorang pelajar terbaik PMR SMKSTA 2001) dengan memetik pesanan Allahyarham Cikgu Mohd. Norazam bin Azuddin, "Jangan jadikan peperiksaan sebagai beban tetapi jadikanlah peperiksaan sebagai gelanggang untuk pelajar menunjukkan kejaguhan!". Kita sama-sama doakan kejayaan cemerlang calon-calon PMR 2010.

Tuesday, September 28, 2010

MINDA MUNDUR

Hari ini saya sempat melawat beberapa kelas. Dapatan saya, dalam kesibukan kita memburu segala kemewahan dan keselesaan, ada segelintir manusia yang mengundur ingin hidup serba susah. Beginilah keadaannya jika prasarana yang disediakan kelas pertama tetapi minda masih mundur. Jangan sampai dewan yang baru dibina pun hancur sudahlah!

Monday, September 27, 2010

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN SMKSTA 2010

Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar SMKSTA 2010 telah dilangsungkan pada 27 September 2010 (Isnin) jam 2.00 petang. Majlis dirasmikan oleh En. Ishanuddin bin Hussin, Pengarah, Kolej Komuniti, Teluk Intan, Perak, iaitu bekas pelajar SMKSTA (nombor daftar 797). Turut hadir ialah En. Jaluddin bin Mohd. Jonid, Penyelia Kokurikulum, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar. Terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Thursday, September 23, 2010

GURU SMKSTA 2010

Sesi bergambar guru-guru SMKSTA telah dilangsungkan pagi tadi. Bukan senang nak bergambar, kejap atas tar, kejap atas padang. Bukan apa, cikgu-cikgu perempuan takut berdiri atas meja. Maklumlah, sesetengahnya pakai baju raya. Tengoklah gelagat mereka sebelum dan semasa bergambar.

Monday, September 13, 2010

PENGANTIN PERTAMA DI SMKSTA


Pada 13 September 2010 (Isnin) yang lalu, majlis perkahwinan antara Nurul Nasrah binti Mohd. Ariffin dan suaminya, Khairum bin Basran telah dilangsungkan di Dewan Baharu SMK Sultan Tajul Ariffin, Manong, Perak. Majlis itu mencatat sejarah sebagai pengantin pertama yang bersanding di sekolah tersebut. Tahniah buat pasangan pengantin tersebut, moga bahagia hingga ke akhir hayat.