Friday, August 26, 2011

AMBANG AIDILFITRI SMKSTA 2011

26 Ogos 2011 - Majlis Ambang Aidilfitri SMKSTA 2011 telah dilangsungkan dengan pelbagai aktiviti bersempena menyambut Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah. Setelah pelajar-pelajar mengemas bilik darjah masing-masing, semua pelajar dan guru berhimpun di dewan. Majlis dimulakan dengan laporan guru bertugas oleh Cikgu Nazri bin Bahador. Selepas itu, ceramah tentang panduan menyambut hari raya menurut ajaran Islam telah disampaikan oleh Ustaz Azhar bin Mohd. Din. Majlis diteruskan dengan bacaan Yasin diketuai oleh Tn. Hj. Ahmad Damahuri bin Yahaya. Selesai bacaan Yasin, majlis dilengkapkan dengan aktiviti khatam Tadarus Al-Quran kerana semua pelajar dan guru telah bertadarus sejak mula Ramadhan.
Selepas rehat, majlis penyerahan cenderamata, hadiah perkahwinan dan sumbangan hari raya telah dilangsungkan. Cikgu Mohammad Rafini bin Mat Razak, Cikgu Noor Amiza binti Mohamed Nazir dan Cikgu Cik Siti Zalina binti Jaafar dari UPSI yang menjalani praktikumtelah menerima cenderamata manakala Cikgu Nor Ain binti Mohtar yang akan melangsungkan perkahwinan pada 3 September 2011 telah menerima hadiah perkahwinan. Tidak dilupakan, guru bukan Islam, iaitu Cikgu Kaetharagowri a/p Venugopal dan Cikgu Praglata a/p M.S. Arumugam telah diberi cenderamata hari raya. Sumbangan hari raya pula disampaikan kepada 160 orang pelajar yang berjumlah RM 2,000.00.

Majlis dimeriahkan lagi dengan ucapan hari raya daripada Cikgu Abd. Rajak bin Hj. Zainalabidin (PK Kokurikulum), Pn. Noriani binti Ariffin (PK Hal Ehwal Murid, Pn. Rafidah binti Yeop Mohamed Rose (PK Pentadbiran) dan Tn. Hj. Shamsuddin bin Md. Zainal Abidin (Pengetua). Kemuncak majlis Ambang Aidilfitri ialah acara bersalam-salaman semua guru dan pelajar sebelum majlis bersurai. Semoga semua guru dan pelajar akan menyambut hari raya dengan meriah dan bahagia kerana tarikh hari raya pada kali ini disambut ketika cuti persekolahan pertengahan penggal kedua, iaitu dari 27 Ogos hingga 4 September.

No comments:

Post a Comment