Wednesday, September 9, 2009

ZAKAT FITRAH

Dalam keghairahan hendak menyambut Aidilfitri, jangan lupa tunaikan zakat fitrah! Zakat fitrah difardukan kepada setiap individu muslim yang berkemampuan. Syarat mengeluarkan zakat fitrah:
  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi 1 Syawal.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Individu yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan dan berkekalan Islamnya.
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari pada akhir Ramadan.

Zakat fitrah juga dikenali sebagai zakat badan, zakat puasa, zakat Ramadan dan zakat Fitri kerana masa untuk menyempurnakannya adalah pada akhir Ramadan dan menjelang hari Raya Aidilfitri. Zakat fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan orang asnaf ketika menyambut 1 Syawal.

Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.3 kg beras atau yang sama nilai dengannya. Di Perak, kadar zakat fitrah pada tahun 1430 Hijrah ini telah ditetapkan sebanyak RM 7.00 seorang.

Waktu membayar zakat fitrah:
  1. Waktu wajib, iaitu apabila terbenam matahari pada akhir Ramadan sehingga terbit matahari 1 Syawal.
  2. Waktu afdal, iaitu sebelum solat sunat Aidilfitri.
  3. Waktu sunat, iaitu sepanjang bulan Ramadan.
  4. Waktu makruh, iaitu selepas solat sunat Aidilfitri sehingga terbenam matahari 1 Syawal.
  5. Waktu haram, iaitu selepas terbenam matahari 1 Syawal.

Niat zakat fitrah ialah, "Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib atas saya / tanggungan saya tahun ini kerana Allah Ta'ala".

Selamat membayar zakat fitrah!

2 comments: