Monday, May 30, 2011

FORUM PERDANA EHWAL ISLAM

30 Mei 2011 - Majlis Forum Perdana Ehwal Islam telah dilangsungkan di Masjid Nurul Huda, Manong, Perak mulai jam 8.00 malam hingga 10.15 malam. Penceramah jemputan terdiri daripada Ustaz Harith Fadzilah bin Halim (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak) dan Ustaz Roslan bin Che Ros (Pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang). Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Amali bin Amhuri (Imam Masjid Kolej Islam Darul Ridzuan). Tajuk forum ialah Liberalisme dan Pluralisme Menepati atau Menyanggahi Aqidah Ahlussunnah Wal Jama'ah.

Berdasarkan huraian dan kupasan penceramah, jelaslah bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme dalam agama menyanggahi aqidah Ahlussunnah Wal Jama'ah. Liberalisme merupakan fahaman berkonsepkan keadilan yang sama rata, iaitu ingin mendapatkan hak yang sama banyak sedangkan konsep keadilan yang sebenar ialah meletakkan sesuatu mengikut yang sewajarnya, iaitu sama-sama mendapat hak tetapi tidak semestinya sama banyak. Pluralisme pula merupakan fahaman bahawa semua agama sama sedangkan Allah telah menjelaskan ) bahawa agama yang benar dan diredai di sisi Allah ialah agama Islam (Al-Imran:19).

3:19

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Sekembali daripada majlis tersebut, saya tergerak untuk meneliti Resolusi Muzakarah Ulama' dan Cendekiawan Islam 2011 yang telah diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Hotel Heritage, Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Mei 2011. Berikut ialah kandungan resolusi tersebut untuk dikongsi dan direnungkan:

RESOLUSI MUZAKARAH ULAMA’ & CENDEKIAWAN ISLAM 2011

MUKADIMAH

Firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat 159 :

Bermaksud: “Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah Engkau terkait sedikit pun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah, kemudian ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).”

Dengan limpah rahmat petunjuk Yang Maha Esa, Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011 dengan tema: “Kepelbagaian Aliran Pemikiran dan Ajaran Islam di Malaysia: Menepati atau Menyanggahi Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Hotel Heritage, Ipoh pada tanggal 11-13 Jamadil Akhir 1432H, bersamaan 15 -17 Mei 2011M telah berjaya dilangsungkan dengan jaya dan penuh mahabbah.

MENJUNJUNG KASIH ATAS TITAH UTAMA DYMM PADUKA SERI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH IBNI AL-MARHUM SULTAN YUSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAH

Terdahulu, muzakarah menjunjung kasih dengan rasa penuh ta’zim atas keberangkatan dan titah perasmian yang telah disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah.

Muzakarah amat mengambil perhatian atas segala titah DYMM Tuanku Sultan agar kesatuan ummah diasaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah . Kegagalan ummah bersatu, akan menyebabkan kekuatan yang ada pada umat Islam akan semakin terhakis. Islam bukanlah alat permainan politik yang diambil bila diperlu, dibuang bila diragu. Tetapi Islam perlu menjadi tertinggi dari segala-segala. Maka ketika itulah impian untuk melihat kesatuan dan kekuatan ummah kembali semula akan menjadi kenyataan.

Muzakarah juga menjunjung kasih dengan rasa penuh ta’zim atas keberangkatan dan titah penutupan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan , Raja Dr. Nazrin Shah al-Haj Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

RESOLUSI MUZAKARAH

Alhamdulillah, muzakarah telah berpeluang memperdalami dan memperhalusi 3 kertas kerja yang menjadi asas perbincangan muzakarah tahun ini di sekitar perbahasan Liberalisma dan Pluralisma Agama, isu Syiah dan isu Wahabiah. Maka berasaskan kertas tersebut, muzakarah dengan penuh kesedaran dan keprihatinan menyatakan resolusi-resolusi berikut:

PENEGASAN MUZAKARAH :

Aliran pemikiran Islam Liberal dan Pluralisma Agama merupakan aliran yang terkeluar dari Islam, dan sebarang penyebarannya tidak dibenarkan berleluasa di kalangan ummah.

Syiah Imamiah Ithna Assyariah merupakan salah satu dari firqah ghuluw (melampau) yang terkeluar dari Islam.

Wahabiah merupakan satu aliran pemikiran dalam Islam dan bukan merupakan mazhab baru, namun ia merupakan satu gerakan ekstrim yang tidak sesuai pengamalannya dalam situasi realiti masyarakat di Malaysia.

Umat Islam wajib bersikap eksklusif dan haram mencampuradukkan akidah dan ibadah umat Islam dengan agama lain. Namun dalam masalah sosial, yang tidak berkaitan dengan akidah dan ibadah, umat Islam boleh bersikap inklusif, dalam erti melakukan pergaulan sosial secara wajar dengan agama-agama lain selagi tidak bertentangan dengan syarak.

Persoalan khilafiah bukanlah bid’ah, maka semua pihak perlulah berlapang dada dan saling hormat-menghormati terhadap kepelbagaian pendapat tersebut.

DAKWAH & PENDIDIKAN

Satu komuti yang khusus perlu ditubuhkan untuk menyelidik dan menjawab kembali secara serius segala hujah aliran-aliran pemikiran songsang dan sesat ini di Malaysia agar ia tidak tersebar di kalangan masyarakat.

Gerakan dakwah Islam perlulah menggunakan metod yang lebih segar dan semasa dalam memberikan pemahaman yang tepat dan haq agar mudah diterima oleh masyarakat Islam dan bukan Islam dipelbagai lapisan masyarakat.

TINDAKAN KESELAMATAN & PENCEGAHAN

Pihak kerajaan & NGO-NGO perlulah prihatin dan selektif terhadap pembiayaan oleh yayasan/badan antarabangsa atau tempatan yang kadang-kadang menyalurkan faham-faham dan aliran pemikiran songsang kepada melalui NGO-NGO ini.

Pihak kerajaan perlulah menilai gerakan yang bercanggah dengan Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah bukan saja gerakan merbahaya yang mampu mengancam akidah, ahklak dan syariah Islam, malah melampaui keselamatan negara.

Usaha penyemakan dan tahqiq kitab dan buku yang menjadi rujukan tradisi umat Islam di Malaysia perlulah disambut baik dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri, namun usaha untuk membetulkan masyarakat selepas itu perlulah disampaikan dalam berhikmah.

Proses pewartaan mengenai kedudukan dan bahaya Syiah perlulah dilakukan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri akan tindakan susulan dapat diambil.

Dalam menyediakan komiti yang bertanggungjawab menjawab dan menyelidik hujah aliran-aliran pemikiran songsang dan sesat ini di Malaysia, maka kerajaan disarankan untuk mengeluarkan sejumlah dana bagi melaksana komiti ini.

Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap golongan dan penyokong-penyokong mereka yang jelas bercanggah dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Usaha-usaha untuk menyebarluaskan bahan-bahan penerbitan bercetak dan siaran oleh Majlis Agama Islam Negeri perlu dilipatgandakan.

Satu usaha kerjasama antara pihak Majlis Agama Negeri & Kolej Islam Darul Ridzuan agar satu kajian komprehensif terhadap pembetulan fakta-fakta sejarah Islam terutama melibatkan teks-teks pengajian sekolah, kolej & universiti perlu dijalankan.


No comments:

Post a Comment