Tuesday, June 21, 2011

BIODATA TOKOH GURU KUALA KANGSAR 2011

Pada 1 Januari 1952, tarikh keramat bagi pasangan bertuah Encik Yop Hamzah bin Uda Rafa dan Zainab binti Alang Ludin di Kampung Lempor Hilir, Kuala Kangsar apabila dikurniakan seorang putera. Anak bongsu daripada dua adik-beradik ini telah dijaga seperti menatang minyak yang penuh dan diberi pendidikan yang sempurna. Dari seorang pelajar yang mendapat pendidikan pada zaman e tanda, akhirnya beliau diterima melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1975. Walaupun telah memperoleh ijazah Sarjana Muda, bagi menzahirkan impiannya menjadi seorang pendidik beliau meneruskan pengajian untuk memperoleh Diploma Pendidikan.

“Selamat pagi, cikgu,” ucapan keramat pertama beliau terima pada tanggal 9 Januari 1976 di Sekolah Menengah Bukit Merchu, Kuala Kangsar. Fizik, Kimia, Matematik Tambahan, Sains Teras dan Literasi Komputer merupakan mata pelajaran yang diajar sepanjang penglibatan beliau di peringkat sekolah. Dari seorang guru biasa, beliau telah menjawat beberapa jawatan yang diamanahkan sebagai Guru Kanan Sains, Guru Pusat Sumber Sekolah dan Guru Penolong Kanan. Semangat menuntut ilmu tidak pernah luntur di hati kecil insan ini. Sepanjang menjalankan perkhidmatannya, beliau juga melanjutkan pelajarannya bagi memantapkan lagi profesion keguruannya di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya. Berkat semangat, kegigihan dan pengalaman yang ditunjukkan, beliau telah dilantik sebagai Penolong Pengarah Bahagian Perpustakaan di Unit Teknologi Pendidikan, Jabatan Pelajaran Negeri Perak pada tahun 1990.

Kematangan pengalamannya dalam pelbagai jawatan sebagai guru dan kemantapan pengetahuan yang dimilikinya, beliau dilantik sebagai Pengetua di SMK Tajul Ariffin, Manong pada tahun 1998. Bagai sirih pulang ke gagang, setelah bertugas hampir tujuh tahun di Manong, beliau ditawarkan menjadi Pengetua di SMK Bukit Merchu, Kuala Kangsar pada tahun 2005. Atas khidmat cemerlang yang ditunjukkan, beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak pada tahun 2006. Kerjaya beliau terus menyinar dan dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Sektor Penyelidikan dan Penilaian di Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.

Insan cemerlang ini bertemu jodoh dan diijabkabulkan dengan Puan Kamariyah binti Basri. Hasil perkongsian hidup bersama-sama Puan Kamariyah binti Basri, pasangan ini telah dikurniakan tiga orang putera dan dua orang puteri. Kesungguhan insan ini diterjemahkan dalam penglibatan beliau sebagai perasmi dan penceramah dalam seminar-seminar dan kursus-kursus di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Antaranya, Seminar Teknologi Pendidikan bermula tahun 1988, Seminar Pelaksanaan Konsep Teknologi Pendidikan di Sekolah-sekolah, Kursus Intergrasi Teknologi Pendidikan, Kursus Pengurusan Pusat Sumber, Teknik Berpidato yang Berkesan dan Kursus Peningkatan Keilmuan Profesionalisme Keguruan.

Penglibatan beliau tidak sahaja terhad dalam bidang tugas rasmi sahaja, beliau seterusnya menyumbangkan khidmat bakti dalam kemasyarakatan dan badan sukarela sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Ahli Jawatankuasa Biro Pelajaran UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Presiden Persatuan Pusat Sumber Sekolah Negeri Perak, Timbalan Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Cawangan Kuala Kangsar dan Pegawai Khas kepada EXCO Yang Berhormat Dato’ Haji Ramly bin Zahari. Dengan kesungguhan beliau menabur jasa dan bakti kepada masyarakat, beliau telah dianugerahi pengiktirafan dan penghargaan apabila dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) dan Pingat Pangkuan Negara (PPN).

Maka dengan ini diumumkan penerima Anugerah Tokoh Guru bagi tahun 2011, Tuan Haji Muhammad Isa bin Yop Hamzah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Daerah Kuala Kangsar 2011.

No comments:

Post a Comment