Saturday, August 6, 2011

HIKMAH PUASA RAMADHAN

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (S.al-Baqarah:183)

PUASA menurut syariat ialah menahan diri daripada segala sesuatu yang membatalkan puasa (seperti makan, minum, hubungan kelamin, dan sebagainya) semenjak terbit fajar sampai terbenamnya matahari, dengan disertai niat ibadah kepada Allah, kerana mengharapkan redha-Nya dan menyiapkan diri untuk meningkatkan Taqwa kepada-Nya.

RAMADHAN bulan yang banyak mengandungi hikmah. Alangkah gembiranya hati mereka yang beriman dengan kedatangan bulan Ramadhan. Umat Islam bukan sahaja telah diarahkan menunaikan ibadah selama sebulan penuh dengan balasan pahala yang berlipat ganda, malah pada bulan Ramadhan Allah telah menurunkan kitab suci al-Quranulkarim yang menjadi petunjuk bagi seluruh manusia untuk membezakan yang benar dengan yang salah.

Puasa Ramadhan akan membersihkan rohani kita dengan menanamkan perasaan kesabaran, kasih sayang, pemurah, berkata benar, ikhlas, berdisiplin, terhindar dari sifat tamak dan rakus dan percaya kepada diri sendiri.

Meskipun makanan dan minuman itu halal, kita mengawal diri kita untuk tidak makan dan minum dari semenjak fajar hingga terbenamnya matahari kerana mematuhi perintah Allah.Walaupun isteri kita sendiri, kita tidak mencampurinya ketika berpuasa demi mematuhi perintah Allah s.w.t.

Puasa mempunyai pelbagai hikmah antaranya:

1. Menandakan kesyukuran kepada Allah.

2. Melatih diri dengan sifat-sifat mahmudah/terpuji seperti sabar, tabah, amanah dan sebagainya.

3. Melatih sikap tolong-menolong di antara satu sama lain.

4. Meningkatkan kesihatan diri.

5. Mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka (hari raya) dan ketika berjumpa dengan Tuhannya pada hari kiamat.

6. Menjauhkan dari sifat-sifat Mazmumah (keji) sepert tamak, sombong hasad dengki dan sebagainya.

Selamat menunaikan ibadah puasa dengan sempurna semoga segala hikmah dan kelebihan yang disediakan dapat sama-sama kita rebut demi kebahagiaan dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment